JOM DA'WAH(Edisi 1)

Alhamdulillah. Sekali lagi Allah menghulurkan peluang kepada saya untuk menulis post bagi blog ini. Setinggi-tinggi pujian serta syukur kepada Allah kerana terus-terusan memberi peluang kepada kita untuk tetap berada di atas jalanNya.
Siapakah yang lebih penyayang dan lemah lembut dari Allah yang tidak pun menarik nikmatNya dari kita sekalipun kita sering sekali melakukan kesilapan?
Siapakah yang tidak pernah melupakan kita pada ketika kita melupakanNya?
Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa kita. Semoga setiap usaha kita mendekatiNya akan menjadi penawar khilaf-khilaf yang lalu.

Kadangkala kita rasa macam tak faham. Kenapa ya orang-orang yang menyembah sesuatu selain dari Allah tu tak faham-faham? Kenapa ya mereka tetap tidak beriman? Kenapa mereka tidak mahu beriman juga padahal telah banyak bukti-bukti kebesaran Allah di sekeliling kita?Kenapa ya?

Saya beri anda satu analogi mudah. Analogi ini sebenarnya saya dapat dari seorang ustaz ketika menghadiri sebuah majlis ilmu.

Kalau kita nampak orang sembah berhala dengan begitu bersungguh-sungguh dan konsisten, kemudian kita pergi kepadanya lalu berkata kepadanya, “Apa yang kau sembah itu salah, tidak benar. Kau sesat.” Agak-agak apa reaksi orang itu?
Mestilah dia marah. Suka hati cakap dia sesat. Bak datang bukti la.

Kenapa dia marah? Bukan sebab dia suka berada dalam kesesatan. Tetapi sebab dia rasa dia betul. Seorang manusia tidak mungkin suka kepada kesesatan. Fitrah seorang manusia itu menyukai kebaikan, keindahan dan kecantikan. Bukti?

“Manusia tidak jemu memohon kebaikan, dan jika ditimpa malapetaka , mereka pasti berputus asa dan hilang harapannya.” (Fussilat: 49)
Maka masalah sekarang ini adalah bukan kerana mereka mahu terus sesat tetapi kerana mereka merasakan mereka benar. Mari teliti suatu kisah yang Allah ceritakan kepada kita di dalam Al Quran, dalam surah Al ‘Araf: ayat 59-62. (Sila buka Quran)

“Sungguh, Kami benar-benar telah mengutus Nuh kepada kaumnya, lalu dia berkata, “Wahai kaumku!Sembahlah Allah!Tidak ada tuhan bagimu selain Dia. Sesungguhnya aku takut kamu akan ditimpa azab pada hari yang dahsyat(qiamat).”

Pemuka-pemuka kaumnya berkata, “Sesungguhnya kami memandang kamu benar-benar berada dalam kesesatan yang nyata.”

Dia(Nuh) menjawab, “wahai kaumku! Aku tidak sesat; tetapi aku ini seorang rasul dari Tuhan seluruh alam.

Aku menyampaikan kepadamu amanat Tuhanku, memberi nasihat kepadamu, dan aku mengetahui dari Allah apa yang tidak kamu ketahui.”


Kisah ini diakhiri dengan pendustaan kaum nabi Nuh kepada baginda yang kemudiannya Allah tenggelamkan mereka dalam banjir besar atas pendustaan mereka itu. Seandainya diteliti kisah ini. Kita dapat lihat bagaimana kaum Nabi Nuh itu tidak berasa mereka sesat sebaliknya dengan yakin mengatakan Nabi Nuh lah yang sesat.

Mungkin ramai yang akan berkata, alaa...kalau beritahu yang betul pun bukan diorang nak dengar.Kalau kita ajak orang kepada kebaikan, bukan nak ikut pun. Seandainya timbul perasaan ini, ketahuilah,

“Sungguh engkau tidak dapat memberi petunjuk kepada orang yang engkau kasihi, tapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang Dia kehendaki, dan Dia lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk.” (Al Qasas: 56)

Sebab itu dakwah kita perlu rabbaniyah. Tidak sepatutnya terhenti pada seruan dan ajakan semata-mata, sebaliknya dilanjutkan dengan doa-doa yang ikhlas kpd Allah agar hati kita semua terbuka.

Telitilah ayat ini

“Dan apabila Al Quran dibacakan kepada mereka, mereka tidak (mahu) bersujud.” (Al Insyiqaq:21)

Kita pasti tertanya-tanya, kenapalah mereka ini tidak mahu bersujud juga. Tapi kita seringkali terlupa bertanya kepada diri, apakah kita telah ‘membacakan Al Quran ini kepada mereka?’

Inilah da’wah. Bacakan firman Tuhanmu kepada seluruh isi alam.
Inilah da’wah. Kita ingin semua makhluk, seluruh isi alam dan seluruh umat manusia menyembah hanya kepada Allah, sujud hanya kepada Allah. Atas tanggungjawab inilah hari ini kita jadikan da’wah ini sebagai priority kita.

Selagi mana masih ada dahi yang tidak menyentuh bumi mengesakan Allah, selagi itulah kita perlu menyebarkan da’wah Islamiyah.

Wallahualam.

0 comments:

Cahaya Kalimah

Ya Allah Ya Tuhan kami,
Kami bersyukur kepada Mu
kerana telah memilih kami
Memahami tugas dan tanggungjawab
dakwah ini

Maka kami berikrar untuk:

iltizam untuk bersatu hati dalam
menegakkan amanah da'wahMu

Bersungguh-sungguh bekerja
semampu kami berdakwah kpdMu

Berterusan meningkatkan diri
menerusi sistem tarbiyah ini

Demi mencapai keridhoanMu


Web Site Hit Counters
HTML'>http://www.easycounter.com/">HTML Counter


Cahaya Muqadimah

"Katakanlah, 'inilah jalanku. Aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak kepada Allah dengan hujjah yang nyata'." (Yusuf: 108)